CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, August 11, 2009

Aidilfitri pertama sebagai suami isteri

Ramadhan merupakan bulan yang membawa kepada seribu keberkatan bagi umat Islam. Sepertimana muslimin muslimat yang lain, kami juga menjalani ibadah puasa pertama kali sebagai pasangan suami isteri. Jika sebelum ini, aku jarang sekali bangun untuk menyediakan makanan bersahur, pada Ramadhan kali ini semuanya berubah kerana aku telah bergelar seorang isteri dan tanggungjawap tersebut terpikul dibahuku. Tapi alhamdulillah, suamiku ringan tangan dan sering membantuku di dapur. Selalunya beliaulah yang akan menyediakan makanan berbuka kami. Setelah berbuka, akulah yang akan membersihkan segalanya sebelum kami solat maghrib berjemaah dan seterusnya menunaikan solat isyak dan tarawikh di masjid.


Alhamdulillah, setelah sebulan menjalani ibadah puasa, tibalah masa yang di tunggu-tunggu iaitu ketibaan Aidilfitri 1429H. Setelah puas di pujuk, suamiku bersetuju untuk menyambut Aidilfitri kali ini di kampung nenekku di Alor Gajah, Melaka. Suasana beraya seperti biasa meriah dengan kepulangan sanak saudaraku. Seperti kebiasaannya kami akan bergotong royong untuk menyediakan juadah hari raya.

Pada pagi 1 Aidilfitri 1429H, setelah mandi sunat Aidilfitri dan bersiap, aku memohon ampun dan maaf dari suamiku yang tercinta sebelum meneruskannya dengan ibu, ayah, adik-adik dan saudara maraku. Ini merupakan pengalaman pertama suamiku beraya di kampung kami dan beliau sungguh teruja dengan sambutan yang biasa kami jalankan.

Setelah selesai bersalaman, kami beramai-ramai ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Aidilfitri. Setelah selesai solat, kami ke kubur arwah datuk dan saudara mara yang lain sebelum mengadakan sessi fotography Aidilfitri. Setelah itu, kami bergilir-gilir beraya di rumah saudara mara yang berhampiran.

Pada petang Aidilfitri yang pertama, suamiku bergegas dan bersiap untuk pulang ke kampungnya di Felda Redong, Segamat. Tepat jam 4.30 petang kami bertolak ke Segamat dan tiba dua jam kemudian.

Sekali lagi upacara salam menyalam antara kami dengan ibu ayah, adik beradik dan anak buah belah suamiku. Esoknya kami berjalan raya pula di rumah saudara mara belah suamiku di Ayer Hitam, Kluang dan Kahang. Inilah pengalaman pertamaku berjumpa dengan saudara mara belah suamiku. Alhamdulillah semuanya terkawal dan tidak berlaku perkara di luar jangkaan. Memanglah kemesraan tu kurang berbanding dengan saudara mara belah aku kerana suamiku memanglah peramah dan ringan mulut orangnya.

Selama empat hari aku berkampung di Segamat sebelum pulang semua ke Kuala Lumpur untuk memulakan tugas...memanglah suamiku pandai mengatur strategi, setengah hari beraya di kampungku dan empat hari beraya di kampungnya....Wassalam.

Sunday, April 20, 2008

Walimatulurus Aznor & Azlee

Setelah lima belas bulan melalui detik indah zaman pertunangan, kami disatukan dalam rentetan majlis indah Khatam Al-Quran, Acara Pernikahan, Malam Berinai, Pertukaran Persalinan dan Persandingan penuh gemilang pada 8 dan 9 Disember 2008. Semua ujian dan dugaan zaman pertunangan bertiup pergi satu persatu dan membawa suasana ceria dan kebahagiaan bagi kedua mempelai, keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan semua jemputan yang hadir bagi memeriahkan majlis kami..

Sabtu, 8 Disember 2007, 8.00 pagi : Malam sebelum majlis pernikahan berlangsung, ramai yang hadir untuk membantu. Di ruang tamu, group pakcik Mail dari Sabah bertungkus lumus membantu kami membuat persediaan perkahwinan. Ada yang mengisi bunga telur, ada yang membungkus cenderamata untuk tetamu dan ada pula yang menyiapkan pelamin untuk malam berinai besar.
Di dapur pula kelihatan makcik dan pakcikku sibuk membuat persediaan untuk memasak keesokan harinya.

Diluar pula adikku Nazmi, papa dan jejaka Sabah sedang asyik memasang khemah dan P.A System.

Sementara itu di dalam bilik pengantin aku diinaikan oleh bakal adik iparku, Nisha.

Sabtu, 8 Disember 2007, 8.00 pagi :Pagi ini bakal berlangsung majlis khatam Quran oleh bakal pengantin perempuan, Aznor Azizan dan adik-adiknya, Mohd Affendi Azizan dan Nazmi Azizan. Tema gold dipilih untuk majlis ini. Aku disiapkan oleh kak Maniseh, sepupuku yang sedang sarat mengandung.

Sabtu, 8 Disember 2007, 10.30 pagi : Kumpulan marhaban telah sampai dan bersiap sedia untuk memulakan acara. Kami bertiga dikhatamkan oleh Ustazah Robayah selaku ketua kumpulan marhaban. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan acara marhaban diteruskan selepas tamat majlis khatam Quran kami. Setelah selesai semuanya, ibuku Hajjah Norrumi binti Haji Milin memberi ucapan terima kasih pada kumpulan marhaban yang sudi menghadirkan diri pada majlis kami. Aku diminta untuk memohon keampunan dan keredhaan dari ibu bapa sebelum dinikahkan dan secara simboliknya aku telah disucikan oleh mereka sebelum diserahkan kepada bakal suamiku.

Sabtu, 8 Disember 2007, 12.30 tengahari : Kak Ena selaku juruandamku telah sampai untuk menyiapkan bakal pengantin yang akan dinikahkan selepas Asar nanti. Setelah menjamu selera dan solat Zohor, aku dirias dan disolekkan olehnya. Ini pengalaman kedua aku dimake-over olehnya. Kali pertama sewaktu majlis pertunangan dulu. Memang jauh berbeza, bak kata Pak Bibikku : “Macam Ziela Jalillah…hehe”.Setelah selasai make-up jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Mm…masih sempatlah aku nak melaram ni. Aku masih berpeluang memakai salah satu daripada baju persalinan dan Indian Costume menjadi pilihanku… apalagi berangan cam Juhi Chawlala aku gamaknya. Selepas puas bergambar; trap…trap… (nasib baiklah jurugambarnya sepupuku sendiri. Thanks abang Shamsul. I really enjoys working with you. ) aku bergegas ke dalam bilik untuk menukar pakaian nikah… syok syok bergambar tak sedar orang semua dah siap nak ke masjid… mana boleh jadi, bakal pengantin tak siap lagi…he he.

Sabtu, 8 Disember 2007, 4.30 petang : Dalam debaran sebelum disatukan, aku melangkah kaki ke Masjid Puchong sambil diiringi sepupu selaku pengapitku, Nadirah dan sanak saudara terdekat yang hadir mengiringiku untuk dinikahkan. Dengan kebaya putih nan indah pilihan ibuku dari tanah suci Mekah aku dinikahkan sendiri oleh bapaku, Haji Azizan bin Haji Ismail dengan pilihan hatiku. Mas kawin sebanyak RM143 menjadi pilihan kami. Jam 5.31 petang sahlah aku menjadi isteri kepada Mohd Azlin bin Othman. Air mata kesyukuran menitis di pipiku setelah semuanya selesai. Alhamdulillah, Allah memperkuatkan ikatan jodoh kami walaupun banyak dugaan yang terpaksa kami harungi untuk mencapainya. Doa restu ibu bapaku menjadi azimat dan kekuatan dalam hidupku untuk menempuhi cabaran hidup sebagai seorang isteri. Setelah semuanya seleasai, semua yang hadir termasuk ahli masjid dijemput ke rumah untuk menjamu selera.

Sabtu, 8 Disember 2007, 7.30 malam : Bagi kebanyakan orang Melaka, malam berinai merupakan acara wajib mereka. Ia telah dijalankan turun temurun dan sudah semestinya aku tidak akan terlepas dari mengadakan acara ini. Selepas solat Maghrib, aku sekali lagi dimake-over oleh kak Ena. Malam ni aku akan mengenakan songket bunga tabur warna merah hati bersama sanggul lintang, aksesori tradisi masyarakat Melaka.

Di luar terdengar sepupu-sepupuku sedang berlatih bermain kompang. Aik…mana pengompang sebenar? Rupa-rupakan mereka tak tahu menahu tentang majlis berinai besar ni...masak-masak…takpelah…pengompang bidan terjun pun jadilah daripada takde bunyi langsung…hu hu.

Majlis berinai besarku dirancang akan dimulakan selepas solat Isyak, jadi adalah masa untuk aku mengenakan sepersalinan lagi pakaian. Kali ni Javanese Costume pulak digayakan sambil dibantu oleh sepupuku Rahilah. Kekok akak nak bergaya dik…kalau jadi Hindustan tadi okeylah gak…selalu layan.he he.

Selesai menjadi Ibu Jawa, aku menukar pula pakaian untuk majlis berinai besar. Sementara menunggu pengantin lelaki tiba, aku terdengar keriuhan di luar sana.. “Eh! Apa pulak ni…?” bisik hatiku. Rupanya-rupanya, entahkan rezeki atau sememangnya takdir Tuhan, Rosyam Noor datang ke majlis berinai besarku. Aku terus meluru ke depan dan bergambar dengannya. Excited giler…bangga sangat rasanya bila artis tersohor negara sanggup meluangkan masa padahal ayahku baru je menjemput beliau di masjid tadi. "Ni husband tak marah ke bergambar dengan saya ni?” soalnya lembut. “Tak…dia sporting. Jealous lagi adalah…” jawapku mesra. Selesai bergambar denganku, beliau terus pulang kerana ada komitmen lain katanya. Tapi seperti diduga tak putus-putuslah peminat bergambar dengan abang Rosyam…hihi.

Acara berinai besar merupakan acara wajib bagi masyarakat berasal dari Melaka. Seperti ibu dan sepupu-sepupuku yang lain, bunga api menjadi satu lagi kemestian. Sepupuku Siti Khairul telah men‘sponsor’ bunga api untuk majlisku ini. Kemeriahan dan semangat perpaduan jelas tergambar kerana segala persiapan dan acara malam ini diuruskan oleh saudara maraku sendiri termasuklah group pak cik Mail dari Sabah. Majlis berakhir kira-kira jam 12 malam. Selepas dari itu kami bergambar di dalam bilik pengantin sehingga jam 1.30 pagi.

Ahad, 9 Disember 2007, 9.00 pagi : Pagi ini sekali lagi aku dimakeover oleh kak Andamku, kak Ena. Seperti dijanjikan pagi ini aku mengenakan sepersalinan lagi pakaian iaitu Japanese Costume.

Jam 11.30 pagi, sewaktu aku sedang bergambar bersama suamiku dalam pakaian berlainan, pak uda selaku driver tak rasmiku hari ini telah tiba dengan keluarganya dari TTDI dan keluarga mak usuku dari Penang. Melihatku masih lagi dalam pakaian lain, mereka ke dewan dahulu dan ‘hilanglah’ sebentar driver ku dari pandangan mata…

Di dewan keadaan penuh sesak dan meriah kerana ini merupakan perkahwinan pertama dalam keluargaku. majority saudaraku dari utara, family Mak Teh dari Terengganu serta family Kak Ana dari JB pun turut hadir memeriahkan majlis. Menurut aturcara dalam kad, pengantin akan tiba jam 1.30 tengahari… tetapi dek kerana kepergian driverku ke dewan melambatkan acara…jam 2.20 petang baru rombongan pengantin tiba….

Sampai saja di dewan, kami disambut oleh paluan kompang dari sepupu-sepupu yang senior…kira group otai kompang lani. Kedua mempelai berjalan bersama-sama pengapit, pemegang bunga manggar serta enam orang flowergirl dan dua orang flowerboy…debaranku ketika itu mengalahkan peserta lari pecut 100meter..huhu.

Sebelum naik ke pentas pelaminan, sepupuku abang Aripin membuka langkah silat di hadapan kami berdua. Setelah itu kedua mempelai di bawa naik ke singgahsana indah di atas pentas.

Sambil duduk di pelaminan indah, kami disajikan dengan tarian masyarakat Sabah yang di bawa khas oleh Pak Cik Mail. Thanks a lot to Pak Cik Mail…hampir 30 orang yang terbang dari Kota Kinabalu untuk bersama-samaku pada hari ini.

Setelah selesai acara persembahan, majlis disusuli dengan bacaan doa untuk memohon keberkatan majlis dan kerahmatan berpanjangan untuk kedua mempelai dan keluarga mereka.

Seperti biasa acara merenjis oleh wakil keluarga ibu, ayah dan pihak lelaki diadakan sebelum pengantin turun ke meja beradap untuk menjamu selera.

Setelah selesai acara santapan, kami pun naik semula ke pentas utama untuk acara memotong kek.

Setelah selesai sessi fotography pun bermula sebelum pengantin lelaki pun berkaraoke. acara berakhir lebih kurang jam 4.30 petang. Sebelum pulang, pengantin sempat membuat candid foto session sementara menunggu saudara maraku mengemas barang-barang untuk di bawa pulang.

Alhamdulillah, selesailah sudah majlis persandinganku yang dirancang selama ini. Pada malam hari, setelah selesai solat isyak, tibalah pula upacara membuka hadiah. Sekali lagi kami diraikan oleh saudara mara dan sahabat baik kami dari Sembulan, Sabah. Majlis berakhir kira-kira jam 12.00 tengah malam. Setelah itu...semua yang ada termasuklah kedua mempelai masuk ke bilik tidur untuk beradu....hihihi....Wassalam.

Pertunangan Aznor & Azlee


Alhamdulillah, tanggal 20 Ogos 2006 bersamaan 26 Rejab 1427h yang lalu kami telah disatukan dalam ikatan pertunangan yang direstui oleh kedua pihak keluarga. Segala pahit getir waktu percintaan telah terlerai dengan termetrainya ikatan suci antara kami berdua. Terima kasih pada semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan Majlis Pertunangan yang sederhana tetapi meriah ini. Semoga ikatan suci ini akan terus berkekalan hingga ke jinjang pelamin, Insya-Allah. Doakanlah kebahagiaan kami di dunia dan akhirat. Wassalam.

Bergambar berdua sebelum rombongan pulang semula ke Segamat,Johor